Thursday, 2 February 2012

Betul ke masa depan penulis blog peribadi gelap?


Selalu benar saya mendapat pertanyaan sebegini, betul ke masa depan penulis blog peribadi suram berbanding mereka yang menulis informasi. Jujur saya katakan bahawa jawapan bagi soalan itu mungkin ya dan boleh jadi juga tidak, bergantung kepada pembawaan masing-masing.

Kenapa tidak? Sebab sudah jelas terbukti, ramai di antara pemblog yang menulis kisah peribadi sudah berjaya dalam arena penulisan blog. Dan percaya atau tidak, jumlah mereka sebenarnya lebih ramai berbanding wartawan tidak bertauliah yang setiap hari duduk bercokol menanti berita terbaru daripada akhbar online.

Satu yang perlu anda ingat, pembaca sebenarnya dahagakan penulisan yang istimewa. Maksud saya yang luar daripada imaginasi mereka. Dan untuk mendapatkan penulisan sebegitu anda perlu menjadi diri sendiri dengan meluahkan apa yang anda rasa, bukan apa yang telah dibaca atau yang anda dengar. Jangan takut dikritik kerana menyuarakan pendapat luar dari kotak pemikiran. Berpura-pura menjadi orang lain hanya akan membataskan kreativiti kamu sahaja.

Lagipun dengan berbuat demikian skop tulisan kamu akan menjadi lebih luas.

Cuba buka mata dan lihat sendiri perbezaan mereka yang menulis dengan jujur dan sekadar menulis. Walau dengan ayat caca-marba, artikel mereka yang menulis dari hati masih nampak istimewa dan menarik bukan.
Jadi kenapa mesti ya?

Okey, perlu diakui bahawa kebanyakan hasil tulisan mereka yang gagal adalah lemah, terdapat banyak ruang kosong yang menyebabkan pembaca mudah lupa kepada blog golongan ini. Perhatikan juga pada topik yang menjadi perbicaraan, ianya terlalu klise dan acap kali berulang, sehingga menimbulkan perasaan bosan kepada pembaca. Kalau pun ada yang menarik, isi di dalamnya agak sempit dan kadang-kadang terlalu umum untuk dibaca.

Nasihat saya belajar dan terus belajar. Jangan terlalu banyak membuang masa dengan berblogwalking dan memberi komen sahaja. Kalau boleh buat kajian sendiri kenapa artikel Top Malaysian Bloggers disukai dan kupas sedikit demi sedikit resipi rahsia yang terdapat dalam entri tersebut. Untuk pegetahuan anda, blog peribadi lebih cerah masa depannya berbanding menulis berita. Itu jaminan saya.

No comments:

Post a Comment